September 4, 2012

PERINGATAN : Fakta dan Modus Operandi Sindiket Penipuan Jenayah Siber



Sindiket Penipuan Macau (Spoofing)

Teknik Spoofing merupakan teknik yang digunakan oleh sindiket dengan membuat panggilan ke telefon bimbit mangsa dengan memaparkan nombor telefon Bukit Aman, Bank Negara Malaysia atau nombor telefon jabatan-jabatan kerajaan bertujuan memperdaya mangsa agar percaya bahawa panggilan tersebut adalah betul.


KES TERKINI: Panggilan telefon menyamar sebagai Pegawai Polis Bukit Aman dan Polis Hong Kong

a) Sindiket menghubungi mangsa melalui telefon dan memperkenalkan diri sebagai Pegawai Polis Bukit Aman serta memaklumkan bahawa identiti mangsa telah digunakan untuk membuka akaun bank di Hong Kong dan terlibat dalam penipuan atau money laundering.

b) Mangsa kemudiannya akan dihubungi pula oleh sindiket yang sama memperkenalkan diri sebagai Pegawai Polis Hong Kong dan memaklumkan perkara yang sama dan akan membuat sitaan wang/pembekuan akaun mangsa di Hong Kong dan di Malaysia.

c) Walau bagaimanapun, sindiket akan memperdaya mangsa dengan menawarkan pertolongan kepada mangsa bagi mengelak akaun / wang mangsa daripada dibekukan / dirampas dan mengarahkan mangsa membuat pindahaan wang sementara ke akaun yang diberikan oleh sindiket.

Panggilan telefon menyamar sebagai Pegawai Bank Tempatan dan Pegawai Bank Negara Malaysia

a) Sindiket menghubungi mangsa melalui telefon dan memperkenalkan diri sebagai Pegawai Bank Tempatan serta memaklumkan bahawa mangsa mempunyai masalah hutang kad kredit atau kad kredit mangsa telah digunakan oleh orang lain.

b) Kemudian mangsa akan dihubungi pula oleh sindiket yang sama memperkenalkan diri sebagai Pegawai Bank Negara Malaysia untuk mengesahkan perkara sama dan menyatakan ada individu lain menggunakan nama mangsa untuk membuat kad kredit palsu. Untuk keselamatan mangsa perlu pindahkan wang mangsa ke dalam akaun yang diberi oleh sindiket.


Sindiket Penipuan Parcel (Bungkusan)

a) Sindiket berkenalan dengan mangsa melalui laman sosial seperti Facebook, e-mail, chat dalam tempoh satu hingga empat bulan.

Setelah persahabatan terjalin, sindiket kemudian memaklumkan kepada mangsa bahawa bungkusan (parcel) telah dihantar kepadanya sebagai barangan hadiah yang mengandungi barang perhiasaan, wang, emas dan sebagainya yang disusuli dengan kiriman resit penghantaran melalui e-mail kepada mangsa.


b)   Walau bagaimanapun mangsa akan dimaklumkan oleh sindiket bahawa bungkusan (parcel) tersebut telah ditahan oleh KASTAM Malaysia yang perlu dijelaskan beberapa bayaran (fee) oleh mangsa kepada pihak kastam dan syarikat fowarding agent dengan memasukkan wang ke dalam akaun yang akan diberikan oleh sindiket bagi tujuan menuntut bungkusan tersebut.


Mangsa yang terpedaya hanya sedar tertipu setelah membuat beberapa bayaran sebagaimana yang diminta oleh sindiket tanpa mendapatkan bungkusan tersebut.


SMS Peraduan Menang Hadiah

a)   Sindiket memperdaya mangsa melalui SMS yang menyatakan bahawa mangsa telah memenangi hadiah peraduan seperti dari stesen minyak dan sim kad. Mangsa diminta untuk mendepositkan sejumlah wang sebagai syarat untuk mendapatkan hadiah peraduan.

b)   Mangsa ke bank dan mendepositkan wang seperti yang diarah oleh sindiket ke dalam akaun yang diberikan. Mangsa hanya menyedari tertipu setelah gagal menerima hadiah peraduan yang dijanjikan.




PHISHING : Pengeluaran Wang Tanpa Kebenaran

a) Pihak sindiket menggunakan teknik phishing untuk mendapatkan maklumat perbankan seperti username dan password mangsa dengan penghantaran e-mail phishing yang meminta mangsa untuk kemaskini akaun perbankan mereka dengan mengarahkan supaya membuat click kepada pautan link yang disediakan.


b) Pautan laman web menyerupai laman web bank-bank tempatan yang diterima oleh mangsa sebenarnya dimiliki oleh pihak sindiket. Paparan laman web ini sebenarnya bertujuan untuk mencuri username dan password yang membolehkan pihak sindiket mengeluarkan wang mangsa tanpa diketahui oleh mangsa.

c) Pihak bank-bank tempatan Malaysia memaklumkan bahawa tidak akan menghantar e-mail kepada pelanggan mereka untuk tujuan kemaskini akaun perbankan mereka.



Penipuan Belian Di Internet

a) Sindiket mengiklankan barangan seperti telefon bimbit, kamera, komputer alat ganti kereta, motosikal dan lain-lain lagi di internet terutama di laman-laman yang menawarkan jualan secara online.

b) Sindiket akan meminta bayaran terlebih dahulu yang menyebabkan mangsa memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan tanpa menerima barangan yang dibeli.


Sekiranya ini berlaku ke atas anda, apakah perlu anda buat?

1.  Membuat laporan polis di Balai Polis terdekat
2. Memastikan semua bukti termasuk dokumen transaksi, no akaun dan butir-butir yang berkaitan diserahkan kepada pegawai penyiasat.
3. Maklumkan kepada pihak bank untuk membatalkan sebarang transaksi terlibat sekiranya kejadian baru sahaja berlaku.
4. Menukar password akaun bank jika perlu atau rasa was-was.
5. Semak latar belakang syarikat yang membekalkan barang secara online.
6. Hanya memberi dengan pembekal online yang mempunayi reputasi yang baik.


Nasihat daripada Polis:
Elakkan menjadi mangsa kepada penipuan siber ini.  Sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan kenalan melalui Internet.  Sekiranya penipuan berlaku, peluang untuk mendapatkan wang yang ditipu adalah tipis dan mengesan penjenayah yang terlibat di alam siber adalah amat mencabar lebih-lebih melibatkan warga asing yang tidak menetap di dalam negara ini.  

No comments:

Post a Comment